Red Kebaya

Putrajaya tolak Hard rock cafe....

Selepas memaklumkan mahu mengkajinya, Perbadanan Putrajaya mengumumkan tidak akan ada Hard Rock Cafe di Putrajaya berikutan premis menjual minuman keras dan hiburan tidak dibenarkan beroperasi di bandar itu.
Presiden  Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat (gambar) mengulas kunjungan ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir ke Putrajaya bagi menyatakan minat untuk melabur dalam perniagaan hotel dan kemungkinan membuka Hard Rock Cafe di situ.
“Bagaimanapun, tiada permohonan dikemukakan terhadap cadangan itu. Maka, persoalan mengenai jawapan muktamad tidak timbul langsung,” katanya dalam satu kiriman di laman Facebooknya.
Dalam satu pengumumannya sebelum ini yang menyatakan kemungkinan Hard Rock Cafe akan beroperasi di Putrajaya mendapat kritikan ramai.
Laman Facebook yang diberi nama “Rakyat Malaysia Menentang Hard Rock Cafe dan Kelab Malam di Putrajaya" telah diwujudkan dan disukai oleh 7,000 pemilik akaun.
Ramai mengkritik cadangan itu mendakwa cadangan kelab seumpamanya di Putrajaya akan mencemarkan imej bandar tersebut.
Syed Yusof merupakan individu yang bertanggungjawab mendirikan Hard Rock Cafe di Kuala Lumpur, Hard Rock Hotel di Pulau Pinang, Four Season Place, Kuala Lumpur dan Hard Rock Café Melaka.
Aseh berkata selepas mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak, Putrajaya kekal dengan pendirian tidak membenarkan premis menjual minuman keras dan hiburan demi menjaga imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan.
“Saya mohon maaf jika isu ini mengundang rasa tidak senang dan kebimbangan rakyat Malaysia,” menurut kiriman itu.
Sebelum ini, Aseh telah mengirim status di laman Facebook mengumumkan Perbadanan Putrajaya dalam proses membuka cawangan Hard Rock Cafe namun menyifatkannya masih di peringkat awal.
Dalam laman sama, beliau turut berkongsi gambar lawatan Syed Yusof Sabtu lepas dan sesi minum petang bersama pihak media sebelum ke tapak cadangan kelab itu.
“Jika permohonan diluluskan, kami akan memastikan sensitiviti penduduk Putrajaya dipertimbangkan dan imej Putrajaya dipelihara,” katanya seperti laporan akhbar tempatan.
Laporan itu turut menyebut pada Sabtu, rangkaian baru tersebut akan dibuka di Menara Ikhlas di Presint 3.
Aseh dipetik sebagai berkata, kelab itu akan dibuka dalam jangka masa tiga ke empat bulan serta akan menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan luar terutama kepada pengunjung bermotosikal dan golongan muda
-Minsider

0 comments :

Post a Comment