Red Kebaya

Silalah berfikir sebelum membuat kenyataan.

sumber gambar : my media lab
Kenaikkan tambang bas sekolah, akhirnya SPAD membuat kenyataan bahawa punca kenaikkan tersebut adalah disebabkan oleh sikap ibu bapa yang tidak ambil kisah dengan isu ini. Kajian SPAD ini berdasarkan apa? Atas kapasiti apa kenyataan ini dibuat? SPAD sebenarnya hendak ibu bapa buat apa? nak boikot? Inilah kenyataan yang boleh diandaikan akan keluar bila sudah tersepit. Siapa yang bersetuju dengan kenyataan sebegini? Kerana pihak SPAD tidak pernah menerima sebarang aduan dari ibu bapa, SPAD terus kaku untuk bertindak? Punca sebenar kenaikkan tambang bas sekolah adalah kenaikkan harga diesel yang diumumkan kerajaan september tahun lalu. Ibu bapa diam bukannya tak kisah tapi keluhan rakyat selama ini ada kerajaan ambil kisah??

Sikap ibu bapa yang tidak kisah dengan kadar tambang bas sekolah merupakan punca sebenar berlaku kenaikan.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ekoran itu pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan.
"Jadi kami sendiri tidak menerima aduan untuk mengambil tindakan. Kalau kita ambil tindakan batalkan lesen pengusaha bas sekolah, jadi bagaimana budak hendak pergi sekolah?" katanya.Bagaimanapun katanya, jika ada ibu bapa tidak berpuas hati dengan kenaikan tambang bas sekolah, mereka disarankan membuat aduan terus kepada SPAD.
"Kami SPAD sebenarnya mengambil perhatian utama dalam isu ini. Ibu bapa mesti membuat aduan dan menampilkan bukti untuk kami siasat dan ambil tindakan ke mahkamah," kata beliau.

Info ringkas mengenai gunung K2

K2 adalah puncak gunung kedua tertinggi di dunia yang terletak di kawasan pergunung Karakoram, Pakistan. Ketinggian gunung ini mencapai 8611 meter. K2 merupakan gunung yang amat sukar didaki dan ramai yang telah kehilangan nyawa mereka ketika ekpedisi menawan puncaknya. Gunung ini dianggap gunung yang paling berbahaya kerana kesukaran laluan pendakiannya berbanding gunung everest di samping suhu sejuk yang melampau. Chogo Ri, inilah gelaran yang diberikan kepada gunung ini yang bermaksud "The Great Mountain".

Banyak percubaan untuk mendaki gunung maut ini telah dilakukan tapi boleh dikatakan terlalu sedikit yang berjaya. 

Suka duka kehidupan di sebalik drama Balqis

Drama Balqis  yang disiarkan semalam di tv3 jam 10 malam pada pandangan penulis adalah sebuah drama yang kaya dengan pengisian yang berguna untuk tatapan para penonton. Drama ini dikatakan  adaptasi dari kehidupan seorang kanak-kanak dan diterajui oleh adik Puteri Balqis, Pekin, Nabila Huda, Ellie Suriati, Namron, adik Rykarl Iskandar dan adik Mia Sara. 

Lambakkan filem/drama Malaysia sekarang hanya berdasarkan percintaan golongan kaya, tahyul dan komedi tetapi filem yang mempunyai unsur-unsur positif teramat kurang dibikinkan kerana mungkin ia dianggap tiada nilai pasaran dan akan gagal menarik minat penonton. 

Drama ini mengisahkan sepasang suami isteri dan seorang anak perempuan mereka yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengubah kehidupan mereka. Namun, hidup di kota raya ini tidak seindah mimpi. Setibanya mereka di Kuala Lumpur ini mereka tiada arah tuju dan hidup gelandangan. Tentu banyak tekanan yang mereka dapat untuk meneruskan kelangsungan hidup tambahan pula memikirkan anak untuk dibesarkan dalam suasana serba serbi susah.

Menonton drama seperti ini bukan sekadar hiburan tetapi akan membuka fikiran kita untuk memikirkan kesusahan golongan yang lebih susah. Di akhir drama ini siapa sangka akan rezeki seseorang jika terus bersabar. Di samping ayahnya menjual pakaian di pasar malam, anaknya pula terus mendapat tawaran berlakon kerana bakatnya. Kita yang senang jangan suka mencemuh dan menjauhi golongan yang susah. Bukan salah mereka kerana mereka susah tapi sebenarnya ia satu ujian dari Allah untuk mereka dan begitu juga kita yang senang, ia juga merupakan satu ujian dari Allah. Perbanyakkan sedekah kepada golongan fakir. Kita tidak tahu rezeki kita dikemudian hari macamana. Satu hari kita mungkin akan terjatuh jadi tak usah terlalu bongkak jika kaya kerana harta benda hanya pinjaman dari Allah. jadilah insan yang merendah diri dan sentiasa bersyukur di sebalik kesenangan. Terjemahkan kesyukuran itu dengan perbanyakkan amal soleh dan salah satunya adalah sedekah. Wallahualam.

-kebaya merah


Bila masyarakat kaya tapi miskin sebenarnya.

Dunia dan segala isinya adalah tidak kekal dan sampai masa yang telah ditetapkan Allah, segalanya akan dihancurkan. Di saat itu, harta kekayaan yang kita kumpulkan semasa di dunia tidak akan berguna walaupun satu sen. Tetapi malangnya, segelintir umat Islam kini rata-rata tidak memahami konsep ini. Jauh sekali untuk memahami hakikat akhirat tu tempat yang kekal abadi.

Mereka menjadikan kesempatan hidup di dunia ini untuk mengumpul seberapa banyak mungkin kekayaan. Dalam masa yang sama, mereka jauh dari rahmat Allah. Kekayaan menjadikan mereka sombong, tamak, bakhil dan miskin. Kenapa mereka dianggap miskin walaupun harta benda mereka melimpah ruah?

Jika material menjadi ukuran, memang diakui akan kekayaan mereka tapi amal soleh yang disandarkan sebagai ukuran, ternyata mereka memang miskin. Jika kekayaan itu menjadikan mereka dekat dengan Allah dan menjadikan mereka takut dengan Allah maka kekayaan itu akan menjadi bonus kepada mereka.

Jika kita memiliki harta yang melimpa ruah kita perlu bersyukur dan anggap harta itu hanya pinjaman dari Allah. Terjemahkan kesyukuran itu dengan memperbanyakkan sedekah, membantu golongan fakir. Jangan jadikan kekayaan kita itu sebagai satu jurang pemisah antara kita dan golongan yang susah. Jika kita tergolong di kalangan manusia yang mencintai dunia secara berlebihan nescaya akhirat akan menjauhi kita umpama mengejar bayang-bayang sendiri, tidak pernah puas dengan harta dan  sekiranya kita mengejar akhirat percayalah bahawa dunia akan ikuti kita tanpa dicari. Wallahualam.
-Kebaya merah

Kita memang bersyukur negara aman tapi...

Rakyat Malaysia disaran untuk bersyukur dan memang diakui ia merupakan satu saranan yang positif oleh pemerintah. Negara kita tiada perperangan, kita bebas beribadat tanpa rasa bimbang, pemerintah menyediakan pelbagai prasarana yang boleh dikatakan cukup untuk kegunaan rakyat jelata. 

Tetapi, dalam masa yang sama rakyat dihimpit dengan tekanan akibat kenaikkan kos sara hidup. Kata pemerintah, kenaikkan pelbagai kos tidak dapat dielakkan dan rakyat dinasihati untuk mengamalkan budaya jimat-cermat. Pemerintah dilihat tidak ambil kisah dengan keluhan rakyat yang terasa beban akibat kenaikan kos sara hidup. Pemerintah memberi pelbagai alasan yang kurang bijak dan tiada usaha dari kerajaan untuk mengekang kenaikan kos yang kian meningkat.

Manifesto PRU 13 yang lepas, pemerintah menjanjikan bermacam insentif untuk rakyat dan akan menurunkan pelbagai kos jika berjaya memenangi pilihanraya. Sekarang kita dapat lihat di mana hasilnya dari manifesto tersebut? Sila rujuk imej kalendar di sidebar blog ini. Apa yang dijanjikan sebelum pilihanraya hanya tinggal janji dan kita ditipu secara terang-terangan tanpa pemerintah merasa malu dan bersalah. Manifesto mi segera PRU 13 hanya sekadar wayang untuk merayu kepada rakyat apabila dilihat sokongan rakyat kepada pemerintah amat mengecewakan.

Mereka sudah memenangi pilihanraya dan kita sebagai rakyat apa yang kita dapat? Kenaikkan itu ini, penarikkan subsidi yang sepatutnya rakyat nikmati sedangkan subsidi kepada kroni terus diberi. Rakyat disaran agar tidak bergantung kepada pemerintah semata-mata tapi pemerintah kenalah sedar bahawa mereka bertanggungjawab untuk menjaga kebajikkan rakyat agar kehidupan rakyat selesa dan tidak dibebani dengan kenaikkan kos sara hidup yang tinggi. Kita negara yang kaya dengan pelbagai sumber alam tetapi kenapa hutang negara kian meningkat saban tahun? Mereka tidak cekap mengurus tadbir, tiris sana-sini, rasuah berleluasa, boros berbelanja tetapi rakyat terpaksa menanggung hutang sang pemerintah. Rakyat perlu membalas budi kerajaan dengan merelakan penarikkan subsidi, kenaikkan kos sara hidup dan yang bakal dilaksanakan iaitu GST supaya negara tidak bankrap. Bersyukurlah negara kita masih aman......

-kebaya merah



Kos hidup: Rakyat Malaysia berada di jurang kehancuran

Sumber gambar : omakkau.blogspot.com
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sedang berhadapan krisis peningkatan kos hidup setiap tahun yang sangat ketara dan memberi kesan kepada indeks kebahagiaan keluarga. 

“Kerajaan Malaysia hari ini gagal menjadikan Malaysia negara berkebajikan dan hidayah tetapi menjadi negara ‘jibayah’ percukaian,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri kepada Harakahdaily.

Menurutnya, tiga perbelanjaan utama isi rumah menurut satu tinjauan meningkat pada tahun 2010 iaitu pertamanya utiliti, keduanya makanan dan ketiganya minuman termasuklah juga restoran dan hotel menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak dua digit.

Contohnya, kata beliau perbelanjaan isi rumah terhadap utiliti meningkat sebanyak 15.1%, manakala perbelanjaan terhadap makanan dan minuman tidak beralkohol meningkat sebanyak 13%.  
 
Katanya lagi, pProgram rasionalisasi subsidi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri hakikatnya tidak releven dengan perkembangan sosio ekonomi semasa. 

“Daripada pemerhatian kesan rasionalisasi subsidi ini, golongan menengah yang menetap di kawasan bandar adalah mereka yang menerima tekanan kuat perubahan ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus. 

Tambahan pula, kata beliau ia akan menunjukkan korelasi positif terhadap peningkatan kadar kemiskinan dan jenayah. 

Sebagai contoh, jelasnya laporan KPMG Malaysia Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013 menunjukkan faktor jenayah tersebut yang dilakukan majoriti golongan belia adalah disebabkan oleh tabiat buruk dan tekanan kewangan peribadi

“Bagaimana pula sekiranya pelaksanaan GST yang bercanggah dengan prinsip percukaian Islam dan zalim tetap akan berlaku pada tahun 2015?” tanya beliau. 

Tentu sahaja, katanya rakyat akan terus terhimpit dalam krisis peningkatan kos hidup yang tidak dapat dibayangkan.

“Isu ini disokong dengan unjuran yang dilakukan oleh beberapa institusi penyelidikan komersial baru-baru ini seperti Standard Chartered Bank yang meramalkan kadar inflasi akan meningkat sehingga 3.4% bagi tempoh sembilan bulan pertama 2014,” katanya. 

Justeru, tanya beliau bagaimana pada 2015 nanti.
 
Beliau menambah, bidang keberhasilan utama negara ‘menangani kos sara hidup’ tidak menyinggung secara efektif pemasalahan utama itu.

Apa yang lebih membimbangkan, kata beliau campur tangan kerajaan secara langsung dalam aktiviti bisnes peruncitan seperti mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) dan Kedai Kain 1Malaysia (KK1M) akan menggugat pengusaha industri kecil dan sederhana. 

Tambahnya, walaupun ia dilihat mungkin berkesan, namun dijangka penyelesaian itu terlalu simplistik dan tidak berjangka panjang.
 
Menurutnya lagi, rakyat masih menunggu dalam tempoh terdekat, apakah langkah drastik yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk meringankan beban isi rumah selain daripada tindakan populis mengumumkan 11 langkah penjimatan perbelanjaan sektor kerajaan. 

“Selagi mana pemasalahan utama tidak diselesaikan, apa jua solusi yang dikemukakan hanya kosmetik dan tidak efektif,” ujarnya

-Harakah Daily

PASTI, jadikan ia sebagai pilihan utama

PASTI atau Pusat Asuhan Tunas Islam adalah pusat pendidikan pra persekolahan yang bertujuan untuk melahirkan insan-insan soleh dan solehah di Malaysia. Ibu bapa yang cintakan pendidikan Islam, pusat ini perlu dijadikan pilihan utama untuk menghantar anak-anak mereka. 

Di zaman yang serba moden dan mencabar ini, kita sebagai ibu bapa tidak harus memandang rendah akan kepentingan pendidikan Islam dalam membina modal insan anak-anak. Malah di zaman ini juga, terdapat banyak anasir-anasir yang melemahkan, merosakkan dan meruntukan kualiti iman berada di sekeliling kita. Jadi, dengan pendidikan Islam di peringkat awal ini, ia akan menjadi satu fungsi bagi mengawal dan memelihara fitrah manusia supaya potensi-potensi rohaniah, aqliah dan jasmaniyah tidak dirosakkan.

PASTI tidak seharusnya dipandang sebagai satu pendidikan pra sekolah yang kolot dan dianggap tidak selari dengan arus kemodenan. Tidak mustahil, sebenarnya masih terdapat segelintir ibu bapa yang mengabaikan dan tidak mementingkan pendidikan Islam untuk-untuk anak mereka. Mereka lebih pentingkan kemodenan berbanding nilai-nilai Islam. Amat menyedihkan kerana masih terdapat ayat sumbang mereka kerana pada kaca mata mereka, kehidupan yang berasaskan nilai-nilai Islam ini mundur dan tidak bebas. Inilah kegagalan dan kesilapan terbesar ibu bapa dalam mendidik anak-anak. 

Jadi, kita jangan segan atau malu untuk menghantar anak kita ke PASTI. Kurikulum yang diguna pakai oleh PASTI adalah dirujuk berasaskan al-Quran, Sirah Rasul, Sirah Sahabat r.a., Sejarah peradaban dan Tamadun Islam. Kesemua rujukkan mengutarakan kepentingan kepada pegangan Tauhid, Fiqh dan Sirah di samping pengajian bahasa-bahasa, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kehidupan manusia dan riadah. Apakah matapelajaran yang diajar di PASTI? Berikut adalah matapelajaran yang diajar di PASTI.

  1. Al-Quran
  2. Al-Tauhid
  3. Al-Fiqh
  4. Al-Sirah
  5. Al- Akhlaq Wal Adab
  6. Asas Bahasa dan Tulisan ( Bahasa Arab, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Tulisan Jawi )
  7. Al-Tibb ( Kesihatan )
  8. Pendidikkan Sosial dan Pembangunan Insan
  9. Alam dan Manusia
  10. Ilmu Hisab/ Asas Matematik
  11. Riadah/ Pendidikkan Jasmani
  12. Teknologi Maklumat ( Pengenalan Asas Komputer )
Berfikir dan buatlah pilihan yang tepat. Adakah PASTI menjadi alternatif pra sekolah untuk anak-anak kita?

Penulisan artikel ini adalah dirujuk kepada tunasislam.blogspot.com. Untuk pembacaan lanjut, sila klik tunasislam.blogspot.com


-Kebaya Merah


Paling baik pemimpin berkata "aku mencontohi Nabi s.a.w."

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah Al-Ahzab ayat 21).
Wahai anakku,

Ayat di atas menyeru kita mencontohi Rasulullah dalam segala amal hidup kita. Kamu sudah tentu tahu bulan Rabiul Awal ialah bulan Maulidur-Rasul, bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Pada setiap 12 Rabiul Awal akan disambut dan diingati kelahiran baginda.


Wahai anakku,

Nabi Muhammad adalah pembawa agama Islam, Baginda mengajar kita segala ajaran agama dan meminta kita terus berpegang teguh kepada dua perkara, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.


Baginda dipilih untuk menerima al-Quran untuk baginda menyampaikan kepada kita semua kandungan Al-Quran sebagai panduan untuk semua umat manusia. Sudah 1,400 tahun, Baginda meninggal, yang ada kini adalah sunnahnya. Al-Quran dan As-Sunnah adalah peninggalan Baginda bagi kita.



Wahai anak kesayanganku,

Bukan itu sahaja, Baginda turut meninggalkan keturunannya serta orang-orang yang beriman. Al-Quran dan As-Sunnah hendaklah kita mengikut selalu bagi memastikan kita termasuk ke dalam kumpulan orang-orang yang beriman. Itu yang terpenting bagi kita yang beragama Islam.


Ingatlah, Al-Quran adalah ibu segala petunjuk dan panduan bagi menjamin hidup kita semua tidak terkeluar daripada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. As-Sunnah pula adalah untuk kita mengikuti apa yang dicontohkan oleh Nabi kerana Baginda merupakan pemimpin kita dan contoh kepimpinan di sepanjang zaman.


Oleh itu, wahai anakku, setiap kita adalah pemimpin dan sebagai pemimpin seharusnya kita mampu menzahirkan kepimpinan yang boleh menjadi model dengan mencontohi kepimpinan Nabi.


Malah, paling baik apabila seorang pemimpin itu sendiri berani berkata, aku ni mencontohi Nabi Muhammad s.a.w. terutamanya bagi pemimpin dan perjuang Islam.


Ini kerana, atas sebab hendak mencontohi Nabi, kita akan cekalkan hati untuk melengkap diri dengan ilmu-ilmu Islam. Kita akan bertekad untuk mengamalkan ilmu itu, agar kita menjadi pemimpin yang berilmu dan berakhlak serupa dengan kealiman dan kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin ummah.


Salam sambutan Maulidur-Rasul bagi tahun 1435 Hijrah buat wahai anakku.


Mudah-mudahan di akhirat nanti kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW dan keredahaan Allah SWT di samping mendapat keberkatan Allah SWT jua di sepanjang masa.


Senyum



-Harakah daily

Kangkung oh kangkung

Kangkung adalah sayuran yang mudah di dapati terutamanya ditepi longkang, dalam sungai parit dan air acaq (bahasa utara). Ia juga sangat senang dibiakkan tanpa perlu bersusah payah semai atas batas dan tak perlu nak dibaja. Nama saintifiknya adalah Ipomoea aquatica. Sedap nama sains dia tapi lebih sedap buat nasi goreng dan kangkung goreng. 

Dalam media sosial hari ini terutama facebook rata-rata cakap pasal kangkung turun harga. Bila digodek dekat blog orang lain rupa-rupanya ia ada kaitan Najib yang menempelak rakyat. Sebab tu dengan tiba-tiba kangkung jadi popular. di bawah ditempekkan kenyataan Najib ( di ceduk dari blog ANAK SUNGAI DERHAKA ):

Kangkung dulu naik, sekarang ini dah turun. Bila turun apa pasal tak puji kerajaan? Bila naik salahkan kerajaan. Ini tidak adil sebab ini adalah (ekoran) keadaan, cuaca..
Faham sangatlah dari kenyataan Najib yang marah rakyat sebab sering menyalahkan kerajaan bila harga barang naik tapi bila dah turun rakyat tak puji. Najib kena fahamlah yang rakyat sudah menyampah dengan pemerintahan yang membebankan rakyat. Nak puji apalah sangat jika sekadar harga kangkung ja yang turun. Selama ni pun pemerintahan sekarang dah puas mencekik rakyat. Rakyat disuruh berjimat-cermat sedangkan mereka masih rakus berbelanja untuk berparti dengan mewah. 

Sebelum ni prof kangkung menjadi sinonim dengan prof-prof kaki bodek. Kalau orang pembodek pun lebih kurang sama boleh dipanggil kangkung. Kangkung nak terus segar dan tak layu kena bergantung pada air. kalau kering air tamatlah riwayat kangkung tu. Inilah apa yang penulis faham. Sekian

-kebaya merah

Maklumat ringkas mengenai gunung berapi Sinabung.

Lokasi
Ia terletak di Dataran Tinggi Karo, Kabupaten Karo daerah Sumatera Utara. 

Ciri-ciri
Ia merupakan gunung berapi 'tidur' yang tertinggi di Sumatera Utara dengan ketinggiannya mencapai 2460 meter. Sakarang, gunung berapi ini kembali aktif.

Sejarah Gunung Sinabung
Dikatakan gunung ini terlahir dari letusan gunung berapi yang dahsyat yang berlaku 7300 tahun yang lalu. Gunung berapi yang di maksudkan adalah Gunung Toba. Kekuatan letusan tersebut boleh disamai dengan 2000 kali kekuatan letusan Gunung Helena atau 20, 000 kali ledakkan bom atom di Hiroshima-Nagasaki. Abu gunung berapi yang terhasil membumbungi bumi selama beberapa dekad, menghalang cahaya matahari daripada sampai ke bumi. Akibatnya, suhu bumi turun sehingga 15 darjah celcius. Letusan terakhir gunung Sinabung adalah 1600 tahun dahulu.

Entri ringkas ini dirujuk berdasarkan tulisan yang dicatatkan annehira.com. Pembacaan penuh sila klik di sini

-kebaya merah

Kecoh gambar bangkai sotong gergasi

SANTA MONICA, California – Sekeping gambar dan berita tentang penemuan bangkai seekor sotong gergasi sepanjang 48.76 meter di tepi pantai Santa Monica, California yang disiarkan di laman web The Lightly Braised Turnip telah didapati palsu, lapor akhbar The Epoch Times semalam.

Artikel di The Lightly Braised Turnip pada Jumaat lalu menyatakan, sotong tersebut menjadi besar disebabkan oleh kebocoran radioaktif ke laut di daerah Futaba, Fukushima, Jepun.

Kebocoran itu berlaku disebabkan sebuah loji nuklear di Fukushima mengalami kerosakan disebabkan tsunami yang tercetus akibat gempa bumi kuat berskala 9.0 pada skala Richter pada 11 Mac 2011.

Artikel di laman web tersebut yang ditulis oleh Butch Witt menyatakan, sotong tersebut kemudian hanyut ke pantai Amerika Syarikat. 

Lebih 500,000 orang menghantar mesej dan melihat gambar tersebut di laman rangkaian sosial Twitter selepas ia disiarkan di laman The Lightly Braised Turnip.
Bagaimanapun, wartawan akhbar The Epoch Times, Zachary Stieber mendapati berita dan gambar tersebut palsu selepas dia melakukan penyiasatan.

Menurut Stieber, dalam artikel sotong di laman web itu, Pengarah Taman Santa Monica, Cynthia Beard berkata, dia berhasrat untuk memotong badan haiwan tersebut untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Scripps untuk tujuan penyelidikan.
Namun, wartawan yang melakukan penyiasatan itu kemudian mendapati tiada pengarah di taman tersebut yang bernama Cynthia Beard. 

Berita palsu itu turut mendapat perhatian portal kajian saintifik yang terkenal iaitu National Geographic.

Menurut portal itu, seorang kakitangan laman web gosip, snopes.com memandu kenderaan ke pantai tersebut dan melaporkan tiada tanda-tanda kehadiran sotong gergasi itu.

Seorang penulis artikel di laman About.com yang memberikan pelbagai maklumat tentang topik-topik menarik, David Emery berkata, gambar sotong gergasi di akhbar The Lightly Braised Turnip itu sebenarnya sotong gergasi sepanjang sembilan meter yang mati di sebuah pantai Sepanyol pada Oktober 2013

-Kosmo Online!

Kreatif, sabar dan fokus. Inilah hasilnya...

Ketika dunia masih dihantui dengan misteri 'crop circle', timbul pula corak di pergunungan bersalji di Perancis seperti yang ditunjukkan dalam gambar. Jika 'crop circle' didakwa dihasilkan oleh makhluk asing namun corak yang dipaparkan dalam gambar sebenarnya hasil seni ciptaan manusia. Individu yang bertanggungjawab dalam kerja seni ini adalah Simon Becks, 55, yang berkerja sebagai pereka peta berasal dari Brecknell, Berkshire.

Apa yang uniknya beliau hanya menggunakan kaki beliau dan kompas untuk menghasilkan corak tersebut. Caranya cukup ringkas, beliau hanya perlu berjalan dipermukaan salji lebih kurang 40 kilometer dan menghabiskan masa lebih kurang 10 jam. Kita mampu berjalan kaki sejauh itu? Semua orang mampu berjalan sejauh itu tetapi adakah kita kreatif, bersabar dan fokus untuk menghasilkan sesuatu yang unik seperti ini? Tambahan pula beliau menghasilkan corak tersebut seorang diri tanpa bantuan sesiapa pun...

-kebaya merah

Cuaca sejuk yang melampau, air terjun Niagara membeku.

Cuaca sejuk yang melampau mencetuskan fenomena atau pemandangan yang luar biasa. Pemandangan yang luar biasa ini merujuk kepada air terjun Niagara yang membeku. Suhu yang dicatatkan ketika itu adalah -18 darjah celcius. Sesetengah tempat diberitakan juga suhunya memcecah -40 hingga -50 darjah celcius. Keadaan cuaca yang melampau ini dianggap telah merencatkan ekonomi AS selepas bencana taufan Sandy pada tahun 2012 yang lepas. 

Cuaca yang melampau ini juga telah melumpuhkan industri penerbangan dan kerugian dianggarkan mencapai sekitar USD 100 juta. 

-Kebaya merah

Keluarga Bahagia.

Umum mengetahui kebahagiaan dalam rumah tangga adalah satu objektif yang menjadi impian bagi setiap pasangan yang berkahwin dan akan berkahwin. Kebahagiaan yang lahir dari keluarga yang bahagia akan mencetuskan suasana yang positif seperti mesra, aman, harmoni dan romantis. Siapa yang tak impikan suasana seperti ini kan? Namun untuk membina keluarga yang bahagia bukan sesuatu yang mudah dan sememangnya dipenuhi liku dan cabaran. Jadi setiap pasangan perlu ada sifat toleransi, jujur, sabar, saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain. Semua ini perlu disuburkan dengan iman.

Dalam memcapai kebahagian dalam rumah tangga, tentunya ada tip atau petua yang dikira boleh dijadikan rujukkan dan panduan. Apa yang penting, setiap pasangan perlu berusaha dan bersusah-payah untuk membina kebahagiaan ini. Apakah petua-petuanya? Berikut di bawah, penulis senaraikan dan semoga bermanfaat:

  1. Sentiasa berinisiatif untuk melakukan aktiviti bersama-sama.
  2. Menggalakkan isteri tidur di atas lengan suami.
  3. Pelbagaikan gaya penampilan untuk elakkan rasa jemu pasangan.
  4. Serba kreatif mencipta suasana yang romantik
  5. Jika berlaku pergaduhan atau pertengkaran, cuba imbas kenangan manis masa bercinta dan berbulan madu dahulu.
  6. Sentiasa ingat akan jasa dan susah payah, pengorbanan isteri semasa mengandung dan melahirkan anak.
  7.  Suami perlu mesra dengan keluarga mertua. 
  8.  Suami dan isteri perlu beri lebih perhatian kepada keluarga sendiri berbanding dengan dunia luar.
  9.  Sentiasa lembut dalam percakapan dan layanan.
  10. Isteri perlu berhias kepada suaminya. Jangan hanya berhias apabila mahu keluar rumah sahaja.
  11. Menjawab setiap pertanyaan suami dengan lembut.
  12. Bawa berbincang jika ada masalah. Sebolehnya elak pertengkaran.
  13. Pasangan perlu kekalkan sifat romantis dan berjiwa muda walaupun sudah berusia.
  14. Jangan terlalu memaksa anak untuk mengikut kehendak dan telunjuk kita tetapi sentiasa memberi pilihan yang sesuai sambil mengawasi mereka.
  15. ketua rumah tangga perlu ada perancangan masa depan seperti kewangan, pelajaran dan percutian.
  16. Menunaikan solat berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Lebih elok jika diajak bersama pergi ke masjid.
  17. Memberi makan kepada ahli keluarga dari rezeki yang halal. Elakkan rezeki dari sumber yang diragui status halalnya.
-Kebaya merah

Tentera AS bakar Quran


KABUL - AFGHANISTAN. Ribuan penduduk mengadakan tunjuk perasaan mengecam tindakan biadab tentera Amerika Syarikat (AS) yang membakar Al Quran dan menyerbu sebuah masjid di barat daya Afghanistan.

Pegawai keselamatan berkata, tindakan kurang ajar tentera AS itu mencetuskan kemarahan hingga menyebabkan sebilangan besar penunjuk perasaan berhimpun membakar poster dan bendera Presiden Barack Obama serta melaungkan slogan anti Amerika di sepanjang jalan dari Kabul ke Kandahar di Wilayah Wardak, semalam.

“Ini bukan kali pertama tentera AS membakar al-Quran. Sejak kebelakangan ini, mereka kerap membakar salinan kitab suci itu dan membakar poster pegawai tertinggi Afghanistan,” katanya.

Sebelum ini, laporan dipetik Al Arabiya, Washington berjanji mengeluarkan semua askar mereka dari Afghanistan mulai 2014 bagaimanapun, perjanjian itu terbatal selepas kedua-dua negara bersetuju menandatangani satu perkongsian strategik yang hanya akan berakhir hujung tahun ini.

-sinar harian

Di sebalik langit malam- Bahagian 2

Baca bahagian satu entri ini di sini

Komet Halley
Terdapat pelbagai komet yang berada di luar angkasa, yang tersohor adalah komet Halley. Komet Halley adalah komet yang dapat dilihat setiap 75-76 tahun sekali. Walaupun pada setiap abad banyak komet yang berjangkamasa panjang yang muncul dengan lebih terang ddan dahsyat, Halley adalah satu-satunya komet yang berjangkamasa pendek yang boleh dilihat dengan mata kasar.  Komet Halley kali terakhir telah muncul tahun 1985 dan akan muncul semula pada pertengahan tahun 2061.

Exoplanet
Exoplanet adalah planet-planet yang dijumpai terletak diluar sistem solar kita. Planet yang dijumpai didakwa mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan bumi dan terletak di zon kehidupan di sistem solar yang lain. Dianggarkan terdapat 100 bilion planet dalam galaksi Bima Sakti ini dan purata satu planet akan mengorbit setiap bintang. Exoplanet yang paling dekat dengan bumi terletak 12 tahun cahaya dari bumi ( 1 tahun cahaya = 9,461,000,000,000 km!!!). Boleh kah manusia menjelajah sejauh ini diruang angkasa?

Super Nova
Supernova adalah letupan sesebuah bintang yang memancarkan tenaga yang teramat dahsyat. Kejadian ini menandakan tamatnya riwayat sesebuah bintang. Letupan ini akan meruntuhkan sebahagian besar kandungan bintang pada kelajuan 30,000km/s (10% dari kelajuan cahaya) dan menghasilkan glombang kejut yang mampu memusnahkan medium antarabintang. Rata-rata supernova akan terjadi setiap 50 tahun di galaksi yang bersaiz Bima Sakti (Milky Way).


Jika hendak dihitung objek yang mengisi ruang angkasa luar, tentu sekali tidak terhitung. Matahari kita adalah satu daripada trilion bintang yang berada di angkasa. Berapa luas sebenarnya ruang angkasa kita? Tiada siapa yang mengetahuinya. Itulah Kebesaran Allah. Ini adalah sebahagian contoh yang penulis tempekkan di sini dan apa yang pasti ruang angkasa amat luas dan belum diterokai sepenuhnya. Objek ciptaan manusia  yang paling jauh meneroka angkasa adalah voyager 1. Objek ini dilancarkan pada tahun 1977 dan yang terkini terletak lebih kurang 10 bilion kilometer dari bumi dan bergerak menerusi ruang angkasa pada kelajuan lebih kurang 60,000 km/j. Jika difikirkan, adakah manusia mampu mencipta objek yang mampu bergerak dengan kelajuan cahaya? cahaya bergerak pada kelajuan 300,000 km/s.

-kebaya merah

Jolla tewaskan iPhone, Samsung.

Baca artikel mengenai telefon pintar Jolla sebelum ini di sini

Syarikat baru yang diusahakan beberapa bekas jurutera Nokia melancarkan telefon pintar, Jolla yang beroperasi pada platform Sailfish atau dahulunya dikenali sebagai MeeGo.
Sehingga kini, Jolla dikatakan berjaya me­ngalahkan semua pesaing besar seperti iPhone dan Samsung di Finland yang dikatakan menunjukkan kesetiaan warganegara itu terhadap produk tempatan.
Mereka juga dikatakan tidak menyukai langkah syarikat yang gah sebelum ini, Nokia diambil alih syarikat Amerika Syarikat, Microsoft. 

Jolla atau disebut sebagai Yolla kini diasaskan bekas pegawai kanan Nokia termasuk Sami Pienimaki dan Tomi Pienimaki.

Meskipun menggunakan sistem operasi SailFish, Jolla mengatakan ia boleh me­ngakses dan memindah naik 80 peratus aplikasi berasaskan Android yang dihasilkan Google.

Telefon dengan saiz 131 x 68 x 9.9mm dijangka dijual sekitar RM1,600 bersama berat 141 gram.

Jolla akan menggunakan pemprosesan Qualcomm Dual Core 1.4GHz bersama rangkaian seperti LTE dan sambungan WiFi, bluetooth dan AGPS. 

Ia dilengkapi kamera 8.0 megapiksel dengan skrin 4.5 inci IPS qHD yang diperkasakan RAM sebanyak 1GB.
-myMetro

Disebalik langit malam-Bahagian 1.

Setiap kali malam kita melihat di langit hanya bintang-bintang yang berkerlipan dan adakalanya bulan datang menerangi malam. Tapi setiap kali kita melihat langit diwaktu malam, pernah tak terlintas difikiran kita apa lagi yang terkandung disebalik atmosfera bumi ini? Jika dilihat dengan mata kasar, kita hanya mampu melihat bulan dengan pelbagai fasa dan bintang-bintang yang berkerlipan sahaja. Kalau dengan bantuan teleskop ( sama ada yang kecil atau besar), kita akan menikmati pemandangan yang jauh lebih indah dan menggagumkan. Teleskop adalah alat yang membantu para ahli astronomi untuk melihat jauh ke langit sama ada untuk membuat penyelidikkan atau hanya sekadar hobi.

Berbalik kepada tajuk, ruang angkasa kita sebenar tidak kosong dan sunyi tapi telah diisi dengan pelbagai object yang menarik. Gugusan yang terdiri dari jutaan bintang, exoplanet, galaksi, nebula dan pelbagai object lagi yang telah berjaya didedahkan melalui teleskop.

Gambar menunjukkan formasi bintang yang membentuk cakera yang dikenali sebagai galaksi. Galaksi terdiri daripada jutaan bintang dan mempunyai pelbagai bentuk dan saiz. Bumi kita sendiri pun berada didalam galaksi yang bernama Bima Sakti. Galaksi tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana ia terletak terlalu jauh dari bumi kita. Jika menggunakan bantuan teleskop yang besar dan canggih seperti teleskop Hubble, imej sebenar galaksi dapat dicerap. Jika diwaktu malam kita hanya mampu melihat beribu bintang yang berkerlipan tapi dengan teleskop hubble ini, bintang-bintang yang berkerlipan ini adalah mungkin merupakan gugusan galaksi yang tersangat indah. Ini adalah andaian penulis sahaja.

Ini juga salah satu object yang hebat dan cantik, ia dikenali sebagai nebula. Nebula adalah istilah latin yang digunakan oleh ahli astronomi yang bermaksud awan. Object ini terdiri daripada debu dan gas terion yang panas seperti hidrogen dan helium serta terdiri daripada plasma. Objek ini juga tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dipercayai nebula ini umpama kilang dalam pengeluaran bintang-bintang baru. Sebenarnya terdapat plbagai formasi nebula di angkasa lepas.

Sistem solar adalah sistem yang terdiri daripada jujukan planet yang mengorbit mengelilingi matahari. Bumi kita terletak dalam sistem solar ini dan kedudukan bumi adalah yang ketiga dari matahari. Selain bumi, sistem solar ini terdiri daripada matahari, utarid, zuhrah, marikh, musytari, zuhal,neptune, uranus, pluto dan eris. Di samping itu juga, lingkaran asteroid mengambil tempat di antara planet marikh dan musyitari. Musyitari dan zuhal adalah dua planet yang terbesar dalam sistem solar.


-bersambung...

-kebaya merah

Apa Sebenarnya Fungsi Pejabat Zakat Jika....

Hari ini tersebar di media sosial tentang kisah sedih adik Nurkhatijah di mana atuknya membawa punjut yang  berisi duit syiling bernilai RM64 untuk membayar yuran bagi menyekolahkan anak yatim ini. Tersentuh hati membaca kisah adik ini dan mengenang nasib dan masa depan serta liku-liku hidup yang bakal ditempuh. Masih panjang lagi perjalanan hidup adik kecil ini. Diceritakan juga duit yang dibawa oleh atuknya masih tidak cukup untuk membayar yuran tersebut dan Alhamdulillah atas inisiatif dan keperihatinan para guru di sekolah tersebut, adik kecil ini berjaya didaftarkan atas sumbangan ikhlas duit poket guru-guru itu sendiri.

Dalam kisah itu juga, difahamkan atuknya pernah membuat permohonan zakat tapi kerana karenah birokrasi yang masih diamalkan maka permohonan tersebut telah ditolak. Mereka tidak merasa kasihan ke dengan golongan susah seperti ini walhal mereka adalah golongan yang layak untuk menerima zakat. Wahai para pekerja yang berkerja di pejabat zakat, kalian tidak pekakah dengan nasib golongan yang susah? Kenapa perlu diwujudkan pelbagai peraturan yang menyusahkan? Adakah kalian takut berlaku penipuan kerana zakat tidak sampai ke golongan sasar? Kalau begitu, kenapa tidak ada inisiatif untuk turun padang mencari sendiri golongan susah berdasarkan permohonan dibuat? Adilkah terus menolak atau merima permohonan hanya berdasarkan butiran di dalam borang tanpa sebarang penyiasatan? Jika apa yang disoalkan tidak benar maka penulis memohon maaf atas persoalan yang diutarakan. 

Kepada pembaca yang budiman, tak usah kita berkira-kira hendak mengeluarkan sedekah kepada orang fakir. Apa yang penting niat yang ikhlas kerana Allah Ta'ala. Kisah adik yang tersebar di internet pula diharap kita sama-sama hulurkan bantuan. Begitu juga dengan orang fakir disekeliling kita, jangan kita kedekut untuk sedekah kerana itulah saham kita untuk dibawa diakhirat nanti.

Ingatlah pejabat zakat, teliti semula peranan dan pelan tindakkan kalian. Perlukah budaya birokrasi terus diamalkan lebih-lebih lagi dalam institusi Islam ini? Jadi apa sebenarnya fungsi pejabat zakat jika masih ada golongan fakir yang tidak terbela? Adakah pekerjanya hanya duduk di pejabat yang selesa dibayar gaji beribu tetapi tidak proaktif sehingga hilang kepekaan terhadap golongan yang betul-betul memerlukan bantuan zakat?

-kebaya merah

Penyakit hati yang menjadi satu fenomena dikalangan masyarakat moden...

Tajuk apa pun aku tak tau nak letak untuk entri ni. Apa-apa pun entri ini mungkin tiada kena mengena dengan tajuk di atas. Penulisan aku ini bukan bermakna aku arif dalam ilmu Islam. Jika ada kesilapan dalam penulisan ini harap dapat memberi teguran.

Aku ingin membicarakan sifat takabbur yang aku percaya ia semakin banyak bersarang di hati umat Islam sekarang ini. Ditambah pula manusia kian rakus mengejar kesenangan dunia. Apakah pengertian takabbur sebenarnya? Selalunya masyarakat mengaitkan takabbur ini dengan istilah sombong, berlagak, tinggi diri. Secara bahasa takabbur adalah merasa paling mulia ( serba boleh, paling hebat ), manakala dari segi istilah adalah menetapkan sesuatu pada dirinya terhadap segala sifat yang baik dan luhur kerana memiliki harta yang banyak atau ilmu yang tinggi.

Itulah serba sedikit pemahaman aku yang serba ringkas mengenai pengertian takabbur. Lazimnya, seseorang akan membiak sifat takabbur di dalam dirinya berpunca daripada harta yang banyak atau ilmu yang tinggi. Dan mengklaim diri lebih hebat, mulia dan berkebolehan dari orang lain dan yang pastinya dia tidak suka berbahasa dan bergaul dengan orang susah dan orang yang diklaim olehnya sebagai orang bodoh. Orang-orang seperti ini selalunya akan bercakap besar, suka memperlecehkan orang lain walaupun orang itu adalah ibu bapa dan saudara kandungnya sendiri.

Dalam entri ini, aku lebih kepada luahan diri aku sendiri tentang pengalaman kendiri berjumpa dan berhadapan dengan orang yang takabbur ini. Aku tidak mahu mengolah panjang-panjang kerana aku bukan arif tapi contoh-contoh yang mudah kitta jumpa disekeliling itulah pelajaran untuk kita jika kita letakkan iman dalam hati.

Amat jarang kita lihat orang berkereta besar menyantuni orang berkereta kecil dan murah jika berselisih dijalan, majikkan menjaga kebajikkan orang bawahannya. Ada juga segelintir anak berlaku sombong dengan ibu bapa kandungnya dan menyanjung mertuanya kerana mertuanya lebih berharta dari ibu bapa kandungnya. Malah jauh sekali nak menghulurkan wang untuk membantu ibu bapa kandungnya yang susah. Inilah si tanggang moden yang bangang sebangangnya. Ingatlah, manusia bangang seperti ini tidak selamanya boleh mendongak ke langit, sampai masa manusia seperti ini akan tersembam mencium bumi. Siapa yang nak tolong kita nanti? orang yang kita sanjung selama ni? jangan mimpilah. Ibu bapa kandung yang kita hina ni jugalah yang akan kita cari balik.

Apa faedah yang terhasil dari sifat takabbur ini? tiada kebaikkan yang lahir dari sifat ini melainkan ia akan merosakkan silaturrahim semata-mata. Bagi aku mereka ini sebenarnya salah satu golongan yang tewas dengan hasutan syaitan yang menghasut untuk mencintai duniawi sehingga melampaui batas. Itulah akibat jika nikmat yang kita perolehi tidak dijaga berlandaskan iman tapi hanya nafsu semata-mata. Mereka tidak tahu setiap sen dari harta dan setiap inci ilmu mereka akan dipertanggungjawabkan ke atas mereka di akhirat kelak. - Wallahualam

-kebaya merah

Putrajaya tolak Hard rock cafe....

Selepas memaklumkan mahu mengkajinya, Perbadanan Putrajaya mengumumkan tidak akan ada Hard Rock Cafe di Putrajaya berikutan premis menjual minuman keras dan hiburan tidak dibenarkan beroperasi di bandar itu.
Presiden  Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat (gambar) mengulas kunjungan ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir ke Putrajaya bagi menyatakan minat untuk melabur dalam perniagaan hotel dan kemungkinan membuka Hard Rock Cafe di situ.
“Bagaimanapun, tiada permohonan dikemukakan terhadap cadangan itu. Maka, persoalan mengenai jawapan muktamad tidak timbul langsung,” katanya dalam satu kiriman di laman Facebooknya.
Dalam satu pengumumannya sebelum ini yang menyatakan kemungkinan Hard Rock Cafe akan beroperasi di Putrajaya mendapat kritikan ramai.
Laman Facebook yang diberi nama “Rakyat Malaysia Menentang Hard Rock Cafe dan Kelab Malam di Putrajaya" telah diwujudkan dan disukai oleh 7,000 pemilik akaun.
Ramai mengkritik cadangan itu mendakwa cadangan kelab seumpamanya di Putrajaya akan mencemarkan imej bandar tersebut.
Syed Yusof merupakan individu yang bertanggungjawab mendirikan Hard Rock Cafe di Kuala Lumpur, Hard Rock Hotel di Pulau Pinang, Four Season Place, Kuala Lumpur dan Hard Rock Café Melaka.
Aseh berkata selepas mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak, Putrajaya kekal dengan pendirian tidak membenarkan premis menjual minuman keras dan hiburan demi menjaga imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan.
“Saya mohon maaf jika isu ini mengundang rasa tidak senang dan kebimbangan rakyat Malaysia,” menurut kiriman itu.
Sebelum ini, Aseh telah mengirim status di laman Facebook mengumumkan Perbadanan Putrajaya dalam proses membuka cawangan Hard Rock Cafe namun menyifatkannya masih di peringkat awal.
Dalam laman sama, beliau turut berkongsi gambar lawatan Syed Yusof Sabtu lepas dan sesi minum petang bersama pihak media sebelum ke tapak cadangan kelab itu.
“Jika permohonan diluluskan, kami akan memastikan sensitiviti penduduk Putrajaya dipertimbangkan dan imej Putrajaya dipelihara,” katanya seperti laporan akhbar tempatan.
Laporan itu turut menyebut pada Sabtu, rangkaian baru tersebut akan dibuka di Menara Ikhlas di Presint 3.
Aseh dipetik sebagai berkata, kelab itu akan dibuka dalam jangka masa tiga ke empat bulan serta akan menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan luar terutama kepada pengunjung bermotosikal dan golongan muda
-Minsider

Isu Kalimah Allah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyertai debat isu Allah apabila meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendiriannya sambil menegaskan dia tidak menyokong cara Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) yang merampas 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban.
"Jika Jais rasa ada tindakan yang melanggar undang-undang, mereka sepatutnya memanggil pihak berkenaan untuk memberi penjelasan.
"Tetapi anda tidak boleh berbuat tindakan drastik sedemikian kerana akan dilihat sebagai tindakan anti Kristian.
“Tidak perlu sedemikian kerana ia akan melahirkan ketegangan," katanya selepas memberikan ceramah di Pusat Reformasi, Demokrasi dan Inisiatif Sosial, memecah kebisuannya selama ini.
Semasa menyerbu PBM, Jais turut menahan dua pegawainya dan meminta mereka ke Balai Polis Damansara.
Tetapi para peguam mempertikaikan tindakan Jais menyerbu premis PBM dan merampas Bible kerana jabatan itu tidak ada kuasa ke atas yang bukan Islam.
Mereka juga mempertikaikan keabsahan enakmen yang digunapakai dalam tindakan itu kerana ia melanggar kebebasan beragama orang bukan Islam.
Anwar percaya tindakan ini adalah untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu sebenar yang melanda negara iaitu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ekoran pemotongan subsidi.
"Saya tidak menolak kemungkinan mereka cuba mengalih perhatian dari masalah ekonomi dan lain-lain masalah yang dihadapi negara termasuk kualiti pendidikan, ketidakadilan ekonomi dan kebejatan moral," katanya sambil meminta Najib menyatakan sikapnya dalam isu ini.
"Kerajaan perlu menghadapi semua ini bukan dengan cara menyerang perkara lain," katanya.
Namun Anwar tidak bersetuju dengan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri DAP – Yeo Bee Yin (Damansara) Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Lau Weng San dari Kampung Tunku yang mencadangkan agar pindaan dibuat ke atas Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan penyebaran agama bukan Iskam) Enakmen 1988.
Enakmen yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional lalu menyekat bukan Islam dari menggunakan 35 perkataan Arab dalam amalan beragama mereka termasuk Allah, Injil dan Insya’Allah.
Anwar berkata, beliau tidak setuju tindakan itu kerana ia dilihat tergesa-gesa kerana masih ada saluran yang sesuai untuk menyampaikan pandangan mereka.
Jais menyerbu PBM ketika isu penggunaan kalimah Allah oleh Kristian sedang hangat dibahaskan dimana sesetengah kumpulan Islam bertegas ia hanya eksklusif untuk Islam sahaja.
Serbuan ini dipercayai ekoran kenyataan Pengarang Herald, Paderi Lawrence Andrew yang memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya akan meneruskan penggunaan kalimah Allah dalam program ibadat berbahasa Malaysia mereka.
Bagi beliau, Perkara 11 (3) (A) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa setiap kumpulan agama yang berhak mengurus hal ehwal agama masing-masing.
Ekoran itu, kumpulan Islam membuat perhimpunan membantah Andrew dan menuntutnya memohon maaf.
-Minsider
konklusinya, isu ini sengaja ditimbul untuk menutup isu yang sebenar iaitu kenaikkan harga kebanyakkan barang. Mudahkan kita diwayangkan??? 
-kebaya merah

Satu Malaysia, satu...satu apa!!! Kita satu apa pun tak dapat!!

Satu Malaysia, Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, Janji ditepati dan bla bla..

Sekali imbas slogan-slogan ni cukup manis dibaca dan didengar. Mesra rakyatlah kononnya. Memang setiap pemimpin akan mencipta slogan/moto tersendiri bagi mengambarkan tanggungjawab yang akan dilaksanakan. Tapi dilaksanakan atau tidak apa yang diwar-warkan atau indah khabar dari rupa. Slogan-slogan tak ada ertinya tanpa merealisasikannya.

Rakyat pula mengharapkan apa yang dikata itu dikotakan bukan hanya sebagai pembuka kata atau penyeri dalam skrip ucapan/kempen. Sekarang terasa sedar yang slogan ni hanya ilusi sahaja tetapi realiti amat memeritkan rakyat. Kalau dicanang Malaysia masih aman dan kita patut bersyukur atass nikmat itu. tapi memang diakui kita tiada perperangan secara fizikal seperti yang dialami di negara-negara yang bergolak. Tapi aman macam mana yang perlu diertikan? Sudah memadaikah kalau tidak berlaku perang boleh dikira aman?

Jenayah berleluasa, rakyat takut bila dapat duit RM1 juta, zina semakin menjadi-jadi, anak luar nikah dicampak sana-sini, kejadian tembak hampir saban hari, rakyat terbeban dengan kenaikan pelbagai kos dan banyak lagi. Walhal undang-undang telah dicipta dan digilap untuk menggerunkan rakyat agar tidak melampaui batas, pelan tindakan untuk meningkatkan ekonomi dan krbajikan rakyat dirangka tapi apa hasilnya? Semakin berkurangkah masalah sosial? Semakin senangkah rakyat? Kos sara hidup makin menurun? Dalam mimpilah. Itulah akibat mempersenda dan memperlekeh Hukum hudud, memperkecilkan cara hidup yang berlandaskan Islam. Hukum hudud dianggap kolot, cara hidup Islam dianggap kuno sehingga ada segelintir individu yang beragama Islam berani menghina Islam. Inikah boleh dianggap Islam terbela dibawah pemerintahan sekarang? Masih amankah macamni walau tiada perang?

Kita juga terasa hati bila janji-janji yang dibawa pemerintah sekarang hanya tinggal janji sahaja. Dalam mimpi sahaja kita menikmati janji-janji tersebut. Manifesto yang boleh dianggap mee segera yang dikempen semasa kempen PRU 13 yang lepas umpama madu dan sekarang apa yang kita dapat? Madu dah bertukar menjadi hempedu. Walaupun pahit, kita kena telan jugalah. Bagi penulis, manifesto yang diutarakan Pakatan Rakyat lebih rasional dan kena pada waktunya disaat rakyat kian terhimpit dengan kos sara hidup yang meningkat. Kerajaan sekarang hanya mampu meniru manifesto tersebut demi memikat hati rakyat. Kerajaan sekarang juga dilihat sombong dengan rakyat. Bila rakyat mengeluh dan mengkritik dikata melawan. rakyat diam dikata suka dengan apa yang mereka buat. Kerajaan tidak serius mendengar suara hati rakyat yang mengharapkan simpati kerajaan akan kesempitan yang dihadapi. Secara keseluruhan kerajaan gagal menunaikan janji yang menyelesakan rakyat melainkan satu sahaja yang bakal tertunai, BRIM.

Himpunan TURUN diharap tidak berhenti setakat itu sahaja. Perlu ada susulan dan lebih tegas dan berani memperjuangkan hak rakyat marhaen. Jangan dilabel hangat tahi ayam sahaja. Bukan nak guling kerajaan tapi kita hendak kerajaan peka dengan suara rakyat. Dengar suara rakyat sepenuh masa bukan hanya waktu pilihan raya sahaja.

Jika dikira-kira apa yang kita dapat?

-kebaya merah

Jolla Smartphone

Lagi berita tentang Nokia tetapi kali ini bukan mengenai syarikat Finland itu sendiri tetapi kisah beberapa bekas pekerja Nokia mula memperkenalkan telefon pertama mereka di bawah syarikat yang diasaskan mereka iaitu model Jolla yang beroperasi di bawah OS bebas, Sailfish.
Bagaimanapun, pembeli Jolla atau disebut sebagai Yol-la masih boleh mengakses atau memuat turun kebanyakan aplikasi yang dibangunkan melalui platform Google Android. Setakat ini, Jolla akan diperkenalkan di Finland dengan beberapa syarikat telekomunikasi berminat untuk memasarkannya.
Dengan penguasaan sehingga 80 peratus Android terhadap telefon pintar di dunia, kemungkinan agak sukar untuk Jolla menyelit dalam pasaran tersebut tetapi berdasarkan semangat dan kepakaran bekas-bekas eksekutif Nokia yang sebelum ini pernah membawa Nokia ke arah kemuncak kegemilangan dalam telefon bimbit, tidak mustahil Jolla boleh mengejutkan dunia.
Mungkin boleh dikatakan, Jolla mungkin telefon yang dianggap 'hipster' dalam dunia telefon pintar.
Kalau ada yang bertanyakan tentang Sailfish, ia dulu dikenali sebagai MeeGo yang pernah dibanggakan dan dibangunkan dalam Nokia sebelum mereka beralih arah kepada platform Windows yang dikeluarkan Microsoft.
Jolla dijual pada harga kira-kira RM1,600 dengan saiz telefon 131 x 68 x 9.9 milimeter bersama tahap nipis sehingga 141 gram. Ia menggunakan pemproses Qualcomm dual core 1.4GHz. Ia juga mempunyai kebanyakan sambungan serta rangkaian seperti telefon biasa iaitu LTE, wifi, bluetooth dan AGPS.
Kameranya pula berkapasiti 8 megapiksel dengan kamera depan 2 megapiksel. Paling penting, saiz skrinnya 4.5 inci IPS qHD. Saiz memori ditawarkan termasuk 16GB dengan RAM sebanyak 1GB. Telefon ini mampu bertahan selama 9 jam jika anda menggunakan sambungan 3G.
Signifikannya, Jolla juga menggunakan sistem peta HERE yang dibangunkan dengan kerjasama Nokia lengkap di 190 negara.
Pengguna Jolla boleh memuat turun aplikasi Android melalui platform Yandex.Store yang mempunyai 85,000 aplikasi Android melalui 17 kategori termasuk Facebook, Twitter, Foursquare, Skype, WeChat, Angry Birds dan Viber serta banyak lagi.
-Daun Pisang